Setelah sekian lama tertangguh disebabkan PKP, alhamdulillah pada 24 Mac 2022 akhirnya Majlis Perasmian Pembinaan MKHAQ berjaya diadakan dengan lancar. Perasmian di lakukan oleh Tuan Guru Syeikh Muhammmad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki selaku penaung MKHAQ.

Majlis yang diadakan lepas waktu zohor di sambut baik oleh penduduk sekitar tapak pembinaan. Majlis juga diselitkan dengan sedikit tazkirah dari tuan guru tentang pentingnya mewariskan ilmu agama Islam yang bertunjangkan Ahlu Sunnah Wal Jamaah kepada generasi masa depan.

Kemuncak perasmian disempurnakan oleh tuan guru dengan mencetak kesan tapak kaki di atas bancuhan simen sebagai simbolik perasmian pembinaan. Sebelum pulang, tuan guru sempat menunaikan solat asar secara berjemaah di masjid bersama-sama dengan penduduk kampung. Sedikit jamuan ringan juga di adakan kepada rombongan tuan guru dan jemaah masjid yang hadir.

Semoga dengan terbinanya MKHAQ ini di kampung Sijangkang akan mengembalikan kegemilangan kampung Sijangkang ini suatu ketika dulu terkenal di pelusuk Malaysia dengan terdirinya pondok pengajian pertama di Selangor.